Abdul Aziz bin Mohd Ali yang bergelar Raja Aziz Laksamana Hojak Andak merupakan pengasas dan guru utama pertubuhan ini.
Beliau pernah aktif bersama Kementerian Kebudayaan Kuala Lumpur yang diasuh oleh Allahyarham Bapak Osama Sumanti yang dulunya dikenali sebagai Guru Tari Kuno dan Guru Persilatan (Silat Pulut).
Selain mendalami ilmu-ilmu persilatan dan kebatinan, Abdul Aziz bin Mohd Ali turut membuka matanya melihat aliran orang lain. Oleh itu beliau pernah mendalami seni Judo dan Pergerakan Kudokan Ninja perseorangan dengan Master Herakawa selama 4 tahun.
Selepas itu, beliau mendalami ilmu Taichi bersama Master Lee dan meneruskan pelajaran seni mempertahankan diri (silat) sebanyak 7 jenis. Kebolehan yang ditunjukkan itu, Abdul Aziz bin Mohd Ali telah bergelar sebagai guru dalam usia yang muda. Rasa tidak puas hati dengan kebolehan sendiri menyebabkan Abdul Aziz bin Mohd Ali mencari guru-guru yang dikira dapat memberikan ilmu kepadanya. Silat Sheikh Baginda Ali, Batin Harimau Puaka, Sheikh Gagak di Rimba, Perilmuan Changkat dan lain-lain lagi adalah aliran yang pernah dipelajarinya.
Setelah bapa angkatnya mangkat, pada usia 120 tahun lebih, dia diamanahkan mengembangkan silat Acheh Helang Putih ini sebagai menggantikan arwah gurunya. Setelah itu Abdul Aziz bin Mohd Ali menambah perkataan Acheh Helang Putih kepada Kegayungan Acheh Helang Putih yang bererti silat ini penuh dengan kebatinan (maksud kebatinan disini adalah mengawal dari segi fizikal dan mental menggunakan segala pancaindera tubuh badan seperti mata, telinga, rasa serta pernafasan dan bukannya menggunakan bantuan makhluk halus). Untuk pengetahuan umum penambahan perkataan kegayungan juga langsung tidak ada kaitan dengan silat gayong atau lain-lain.